gugurnya bunga

aku ingat lagi bila bondanya menunggu dia di kaki lima dewan makan. kadangnya aku pun sedang menunggu bondaku di kaki lima itu. ada hari, aku berpeluang bersembang dengan bondanya. tuturnya lemah lembut. adakalanya, kuintai wajah bondanya dari tingkat dua. sewaktu dia yang juga teman sebilikku masih lena. maklumlah, hari jumaat! waktu persekolahan berakhir lebih awal. warga asrama perempuan lebih memilih untuk berehat atau berkemas mahu pulang ke kampung halaman.
"kimi, mak kau dah sampai." kejutku.

bila aku lebih dahulu turun ke bawah, kusapa bondanya.
"kimi tidur, mak cik." 
bondanya ketawa. "tidur aje dia tu."

--
awal pagi tadi, aku dikhabarkan dengan satu berita. bondanya sudah pulang ke negeri abadi. bondanya tiada lagi. dan aku, turut merasai kehilangan itu. wajah tenang bondanya bermain di lensa mataku. tutur bicara bondanya yang lembut menyapa telingaku. kehilangan itu mencelikkan pejamku, betapa aku masih belum sempurna tanggungjawabnya pada ayahbondaku.

buat engkau yang cekal hatinya, moga di negeri abadi nanti, kalian akan disatukan kembali. bersama ayahbonda yang kalian rindui keberadaannya. al-fatihah.