cemburu pada alam

mahu sahaja aku menyandarkan kepala di bahumu, sama-sama merasai satu per satu kekusutan yang datang menyinggah di setiap penghujung malammu. walaupun aku kebiasaannya tidak punyai patah kata yang bisa menyenangkanmu, teruskan saja bercerita. aku mahu teroka rahsia duka yang sebegitu lama kau simpankan sendirian. 

sesungguhnya, aku terlalu menyimpan cemburuku pada rembulan terang, bintang entahkan satelit mahupun kapal terbang, pada setiap serangga malam yang menyanyi-nyanyi, pada deru-deru angin dan mungkin rintik-rintik hujan. cemburu pada mereka kerana lebih tahu dan lebih selalu ada ketika kau didatangi ragu-ragu, buntu dan keliru. 

lalu aku sempadankan rindu dengan dinding-dinding aksara pujuk, biar aku bisa ampuh dengan kedatangan waktu terkedepan yang belum terjangkau untuk diduga. 

rembulan terang
bintang, satelit, kapal terbang
serangga malam
deru angin
dan rintik hujan
-- temankan dia
kerana kau yang sebenarnya selalu ada
dengan dia