bulan berwajah melankolis

[satu]
melewati jam tujuh petang itu
memandu berseorangan
menelusuri lebuh raya sunyi
bertemankan warna-warna senja
merah jambu, jingga dan ungu

[dua]
berkejaran di lampu merah simpang tiga
tidak mahu terlepas momen
mentari senja menjemput malam
lensa kamera dibidik lekas
gelak tawa di hujung siang

[tiga]
kapal-kapal nelayan berlabuh
membarisi gelombang laut 
di hari terakhir itu
mengintai di sebalik tabir
siluet nakhoda
dan anak-anak kapal
merenung jauh
menembusi serakan warna jingga
di langit ungu

[empat]
berbekalkan air kelapa
mengunyah keropok losong 
meneropong kapal-kapal dagang
kelihatan kecil di kejauhan
selat sibuk itu
di celah-celah susunan bakau 
mentari menyembunyi

[lima]
kerana bulan tak selalu muncul
pada malam-malam kita
atau awan kerap menutup
terangnya